Lagi rakyat kita dibawa pulang

SERAMAI 359 rakyat Malaysia yang terkandas di Tiruchirappalli (Trichy), India selamat tiba menerusi dua pesawat sewa khas Malindo Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari ini, masing-masing jam 5.50 pagi dan 4.46 petang.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, penerbangan seterusnya daripada India dijadualkan tiba ke tanah air pada 3 hingga 6 April 2020 bagi membawa pulang seramai 1,790 rakyat Malaysia yang masih terkandas di India, termasuk di New Delhi, Mumbai, Chennai dan Trichy.

Sementara itu, seramai 266 rakyat Malaysia direkodkan masih terkandas di Australia dengan 59 daripadanya terkandas di Melbourne, Australia dijangka tiba di KLIA 8.30 malam ini.

“Menjawab persoalan yang tular di media sosial semalam berkenaan rakyat Malaysia yang terkandas di Algeria, pihak Wisma Putra ambil maklum tentang perkara tersebut. Buat masa ini, kerajaan Algeria menggantung operasi semua penerbangan komersial di negara itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Algeria dalam proses menguruskan satu penerbangan sewaan khas bagi membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas di sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Berkenaan rakyat Malaysia yang terkandas di Chad, Nigeria, berdasarkan maklumat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria, Lapangan Terbang N’djamena Chad dijangka dibuka semula esok dan rakyat Malaysia yang terkandas di Chad dimohon untuk terus berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja melalui talian +2347031365197.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar berkata, Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di seberang laut akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara terpelihara dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat.

Katanya, Wisma Putra turut mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkesan di luar negara akibat pandemik itu.

“ Melalui inisiatif MDES yang Wisma Putra lancarkan Selasa lalu, saya ingin memaklumkan, sebuah syarikat di Jepun, JAGAM (Tokyo Chapter) and Jounan Shoji Co. Ltd menyumbang sejumlah penutup muka dan hidung khusus untuk perwakilan kita yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Tokyo.

“ Saya bagi pihak Wisma Putra, amat berterima kasih atas sumbangan ini dan saya sekali lagi mengalu-alukan semua pihak untuk turut menyumbang peralatan perubatan melalui inisiatif ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19