Kuat kuasa semula PKP pada Aidilfitri – Dr Jemilah Mahmood

KERAJAAN diminta menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Hari Raya Aidilfitri sebagai langkah pencegahan peningkatan Covid-19 di negara ini.

Mencadangkan perkara itu, Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, ia berikutan terdapat peningkatan kes Covid-19 di Korea Selatan dan Jerman.

Katanya perkembangan di kedua-dua negara itu begitu membimbangkan dan langkah berjaga-jaga perlu diambil ketika Aidilfitri.

“Sangat bimbang melihat peningkatan kes di Korea Selatan dan Jerman dan bagaimana perjumpaan berbuka puasa boleh menyebabkan maut.

“Jika kita tidak mengambil langkah untuk mencegah penyebaran (Covid-19), kita mungkin kalah daripada semua yang dibuat. Tuhan melarang. Mari berjaga-jaga.

“Mungkin lockdown semasa hari raya adalah langkah pencegahan yang baik. Mari kita laksanakannya dengan progresif, “katanya di laman Twitter hari ini.

Ciapan itu turut mengundang sokongan netizen yang rata-rata mahu kerajaan lebih tegas dalam isu itu.

Dalam ciapan itu Jemilah turut menanda akaun Twitter Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan membenarkan ziarah Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan pesta Kaamatan pada hari pertama dan hanya dalam kalangan ahli keluarga dengan jumlah tetamu seramai 20 orang, manakala rumah terbuka perayaan tidak dibenarkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan