Kronologi kemelut politik Kedah

SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini, perkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, Sultan Kedah sudah menerima mengadap 36 Adun bagi mendapatkan penjelasan mereka berhubung situasi politik di negeri itu.

Berikut adalah kronologi kemelut politik Kedah

24 Februari – Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

24 Februari – Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

24 Februari – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

27 Februari – Datuk Seri Mukhriz Mahathir umum mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) bagi mengekalkan kerajaan negeri sedia ada.

1 Mac – Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

16 Mac – Muhyiddin dicabar Mukhriz dan Mohd Faiz Azleesham bagi jawatan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti itu Jun depan.

6 Mei – Pas umum sedia mengetuai pentadbiran kerajaan negeri berikutan kepincangan dan perpecahan yang semakin tidak terkawal dalam Pakatan Harapan (PH) Kedah.

12 Mei – Adun Lunas, Azman Nasrudin dan Adun Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee umum keluar parti dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri.

12 Mei – PN Kedah umum pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Adun termasuk dari Bersatu.

13 Mei – Mukhriz menegaskan beliau masih Menteri Besar dan kerajaan negeri pimpinannya masih beroperasi seperti biasa.

15 Mei – Seramai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman.

17 Mei – Mukhriz umum melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah selepas hilang sokongan majoriti sokongan Adun.

17 Mei – Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim mengumumkan Sultan Kedah perkenan melantik Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14