KPT teliti kaedah selesai isu penuntut terkandas

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) sedang meneliti kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkandas di kampus akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, perkara terbabit akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri mengenai Covid-19 pagi ini.

“Susulan pengumuman dibuat Perdana Menteri mengenai lanjutan tempoh PKP, saya bersama kementerian sebentar tadi meneruskan perbincangan dan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang penuntut yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing.

“Perkara ini akan di bawa ke Mesyuarat Khas Menteri mengenai Covid-19 esok pagi.

“Sebaiknya, saya mahu pelajar bukan saja dapat pulang ke rumah tetapi pulang dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya dalam ciapan di Twitter rasminya malam tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas mengumumkan PKP yang berakhir Selasa depan dilanjutkan hingga 28 April ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan menanggung sepenuhnya bantuan makanan untuk 74,530 penuntut yang tidak dapat pulang ke kampung halaman akibat PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan