KPDNHEP siasat kenaikan harga ayam

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat aduan berhubung kenaikan harga ayam yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pegawai diarah menyiasat perkara itu yang didakwa berlaku di Terengganu.

“Saya terima banyak laporan melalui mesej dan Facebook yang merayu serta mendesak supaya perkara itu (kenaikan harga ayam) diadakan siasatan.

“Untuk itu, kita telah arahkan pegawai untuk menyiasat di lapangan,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja di Hai Seng Huat Fishery Frozen Sdn Bhd di Lorong 5, Bagan Sekinchan, Sekinchan, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Memberi contoh, Rosol berkata, ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam sehingga RM9.60 sekilogram dan ia dianggap melampau.

“Mungkin mereka (peniaga) dapat mengagak kerajaan akan melaksanakan penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Maksimum (SKHM). Jadi, sebelum SKHM diumumkan , mereka cuba menaikkan harga dan ini merupakan satu kesalahan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan untuk menindas pelanggan dan saya berharap ia tidak berterusan,” katanya.

Tambah Rosol, beliau menegur sikap tamak dan tidak beretika segelintir peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga ayam, terutamanya menjelang Aidilfitri.

“Bagi saya, bekalan ayam melebihi dari sepatutnya. Namun, peniaga melihat ia (menaikkan harga) sebagai peluang untuk mengaut keuntungan.

“Ini sepatutnya tidak berlaku, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana rakyat sedang susah,” katanya.

Dalam pada itu, Rosol berkata, beliau mendapat lima aduan secara peribadi di Terengganu berhubung kenaikan harga ayam.

“Saya minta pihak terbabit memberi maklumat kepada saya dan saya akan salurkan kepada pegawai untuk menyiasat perkara itu,” katanya.