KKM tumpu lokaliti

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) laksana pendekatan lebih terperinci menggunakan teknologi dan inovasi terkini bagi mengenal pasti lokaliti khusus pesakit Covid-19 di peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, contoh pendekatan itu adalah membabitkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kaedah itu lebih baik dan berkesan menangani penularan Covid-19 berbanding melakukan sekatan dalam radius yang luas.

“Selain itu, ia berupaya bagi KKM memperuntukkan petugas kesihatan yang mencukupi bagi melakukan saringan secara aktif.

“Kita nak lihat data, bukan saja perspektif seperti negeri, daerah, mukim dan kampung, sebaliknya langkah mengenakan seterusnya akan lebih ‘zoom in’ (fokus).

“Selama ini kita gunakan kaedah kumulatif daripada kes pertama hingga sekarang kita masukkan dalam negeri atau daerah masing-masing, jadi kalau gunakan kaedah kumulatif semua akan jadi merah pada satu masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di KKM Putrajaya, hari ini.

Persoalan sama ada perlu kelonggaran dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya, KKM ketika ini melihat kepada data bukan hanya rekodkan kes pada peringkat negeri tetapi juga peringkat daerah dan mukim.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19