KKM gilir tenaga kerja – Dr Noor Hisham

SAMBUTAN Aidilfitri tahun ini sememangnya unik dalam kalangan petugas barisan hadapan terutama bagi perkhidmatan kesihatan ketika negara sedang dilanda penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun sama seperti tahun sebelumnya, apabila petugas kesihatan juga perlu bekerja pada waktu umat Islam lain sedang merayakan Aidilfitri, kali ini mereka juga berkorban masa dan tenaga untuk memastikan rakyat Malaysia terselamat daripada dijangkiti penyakit yang kini sudah menjangkiti lebih 7,000 pesakit dan meragut 115 nyawa di negara ini.

Menurutnya, walaupun tahun ini semua rakyat Malaysia disarankan untuk beraya secara tertutup, apa yang penting hati kita semua sentiasa terbuka.

“Saya nak ucap selamat hari raya kepada semua rakyat Malaysia dan semua petugas barisan hadapan dan saya juga ingin ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan dan agensi lain.

“Sesungguhnya apa yang penting kita kena patuh prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan. Jika kita patuh SOP, kita dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19.

“Kita kena jaga kita, kita kena jaga keluarga kita dan kita kena jaga masyarakat kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Putrajaya pagi hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon dan Pengarah Hospital Putrajaya Datuk Dr Nora’i Mohd Said.

Dr Noor Hisham berkata, KKM mengambil pendekatan penggiliran tenaga kerja yang bertugas sepanjang hari raya pertama hingga ketiga bagi memastikan kesemua mereka masih boleh meluangkan masa dengan keluarga masing-masing.

Beliau berkata, ia sememangnya amalan yang dilakukan setiap tahun.

Ditanya jumlah petugas barisan hadapan kesihatan yang perlu bertugas sepanjang perayaan Aidilfitri ini, Dr Noor Hisham berkata, ia bergantung kepada perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan dengan penugasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma 24 jam sehari.

“Apa yang dilakukan sekarang ini, jika ada keperluan kita akan panggil mereka kembali bertugas,” katanya.

Dr Noor Hisham yang juga bertugas di hospital akan melawat beberapa hospital dan klinik sekitar Putrajaya sepanjang hari ini bagi bertemu dengan petugas barisan hadapan yang bekerja pada hari raya.

Terdahulu, beliau mengambil kesempatan bertemu mereka dan bergambar bersama-sama selain melawat kawasan yang dikhaskan untuk saringan ujian pengesanan Covid-19 di hospital berkenan.

Sementara itu, kehadiran Dr Noor Hisham di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya sememangnya ditunggu-tunggu petugas.

Ketua Penyelia di jabatan berkenaan, Siti Rashikin Mat Zuki, 42, yang sudah 20 tahun berkhidmat di hospital itu berkata, tahun ini sambutan Aidilfitri sedikit lain berbanding tahun sebelumnya berikutan semua petugas di situ berdepan dengan ancaman Covid-19.

Menurutnya, cara mereka bertugas juga berlainan berbanding sebelum ini, dengan kesemua mereka perlu mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi memastikan diri dan pesakit tidak terdedah kepada jangkitan.

Dia yang berasal dari Pendang, Kedah berkata, kesemua petugas barisan hadapan berharap semua pihak dapat menjaga diri dan akur dengan SOP KKM dalam melawan jangkitan wabak berkenaan.

“Kami semua sangat berbesar hati kerana Ketua Pengarah meluangkan masa bersama-sama kami pada pagi Aidilfitri ini kerana kami mengharapkan sokongan pihak atasan.

“Dengan sokongan daripada Ketua Pengarah kami sangat berterima kasih dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada beliau atas sokongannya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19