Kesusahan keluarga Mat Aroff dapat perhatian

ENAM beranak yang berdepan detik sukar selepas terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa mendapat perhatian pelbagai pihak.

Mat Aroff Yaakub, 36, dan isteri, Norley Erney Mohd Saufi, 32, bersama empat anak yang semuanya berusia bawah sembilan tahun, terpaksa mencari tempat berteduh yang lain.

Kesusahan mereka mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Perbadanan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (PBMaiNS) serta turut membantu komuniti Akademi Bolasepak Junior Inspire (BudakBOLA) yang berpangkalan di Taman Bukit Chedang, Seremban.

Difahamkan, keluarga berkenaan yang sebelum ini menyewa di Apartmen Arowana Impian Seremban 2, dikatakan terpaksa keluar dan tinggal di dalam khemah tempat mereka berniaga nasi ayam di Dataran Centrio, yang terletak berhampiran Pasar Raya Besar Mydin Seremban 2, selama kira-kira lima bulan.

Bagaimanapun kesusahan keluarga berkenaan dapat dihidu masyarakat sebelum mereka melaporkannya kepada JKM dan PBMaiNS.

Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, keluarga terbabit kini dibawa tinggal sementara waktu di sebuah hotel bajet di Seremban 2, selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini.

Beliau berkata, langkah selanjutnya ialah berusaha membantu mencarikan rumah sewa yang lain atau di kediaman projek perumahan rakyat (PPR) yang bersesuaian dan selamat.

Katanya, JKM juga akan membantu dari segi bantuan kewangan bulanan kepada keluarga ini dan menguruskan pendaftaran kad orang kurang upaya (OKU) bagi ketua keluarga yang didapati kurang upaya fizikal.

“Saya difahamkan kad OKU beliau (Mat Aroff Yaakub) hilang dan kita akan membantunya mendapatkan kad yang baharu.

“JKM juga akan menguruskan supaya keluarga ini memperoleh bantuan bulanan bagi meringankan beban mereka.

“Buat sementara ini, JKM akan menyalurkan bantuan Bakul Makanan kepada keluarga ini apabila mereka telah ada tempat tinggal yang sesuai,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengasas Akademi Bolasepak Inspire (BudakBOLA), Hishamudin Ibrahim, berkata, rata-rata komuniti akademi bola sepak itu menyedari gerai yang diusahakan mereka tetapi tidak mendapat maklumat mengenai keadaan sebenar keluarga terbabit.

“Kami mendapat tahu kesusahan keluarga ini selepas mereka mendapat perhatian pihak Baitulmal dan JKM,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah melancarkan tabung kilat sehari dan berjaya mengumpulkan sebanyak RM2,368 untuk membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

“Sebahagian daripada wang kutipan derma itu juga akan digunakan untuk memperbaiki Proton Wira milik Mat Aroff yang rosak teruk supaya kenderaan itu dapat digunakan untuk meneruskan perniagaan kelak,” katanya.