Kes saman LHDN terhadap anak Najib 30 Jun

Mahkamah Tinggi Shah Alam akan menetapkan tarikh baharu keputusan permohonan Nooryana Najwa, anak perempuan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, bagi menggantung prosiding saman oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Berdasarkan maklumat diperoleh daripada mahkamah, kes itu yang sepatutnya ditetapkan untuk keputusan hari ini sudah dilapangkan berikutan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, yang mendengar permohonan tersebut, bersidang sebagai panel Mahkamah Rayuan.

Sehubungan itu, pihak mahkamah mengeluarkan surat kepada pihak-pihak terbabit pada 9 Mei lalu memaklumkan bahawa mereka perlu hadir ke mahkamah untuk pengurusan kes pada 10.30 pagi, 30 Jun depan bagi menetapkan tarikh baharu.

Mahkamah turut menetapkan hari sama (30 Jun) untuk menetapkan tarikh keputusan permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi.

Nooryana Najwa, 32, membuat permohonan bagi menggantung prosiding tersebut sementara menunggu rayuannya terhadap penilaian pentaksiran semula cukai LHDN selesai.

LHDN selaku plaintif memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan pada 24 Julai tahun lalu dengan menamakan Nooryana Najwa selaku defendan.

Penyataan tuntutan LHDN menyebut bahawa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 sehingga 2017.

LHDN mendakwa sehingga kini, defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335,292.36.

Oleh itu, LHDN menuntut daripada defendan jumlah RM10,335, 292.36, faedah atas jumlah RM10,335, 292.36 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.