Kerjasama Yayasan YTL dan UKM

YAYASAN YTL menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha mempertingkatkan kemudahan pembelajaran buat murid dan pelajar di negara ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Melalui Inisiatif Belajar Dari Rumah yang diperkenalkan, penuntut dan kakitangan UKM dibekalkan dengan kad SIM 4G YES secara percuma bersama data sebanyak 40 GB.

Malah, melalui penyertaan FrogAsia dalam kerjasama itu, bahan pengajaran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 akan dibangunkan untuk kegunaan ibu bapa dan murid.

Pengerusi Yayasan YTL, Tan Sri Dr Francis Yeoh Sock Ping, berkata pihaknya berbesar hati dapat merealisasikan kerjasama berkenaan dalam memberikan manfaat buat semua murid dan pelajar di negara ini.

Jelas beliau, jalinan kerjasama dengan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM turut mengkaji kecekapan reka bentuk semula teknologi berasaskan bilik darjah ke atas pedagogi guru serta tabiat pembelajaran murid yang sering dijadikan asas dalam kertas penyelidikan akademik.

“Di bawah inisiatif ini, seramai 30 penuntut pra dan pasca ijazah Program Pengajian Bahasa Inggeris, Program Pengajian Linguistik dan Program Pengajian Bahasa Melayu dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM akan menyertai barisan felo dan alumni Teach for Malaysia.

“Mereka akan bersama membangunkan bahan pengajaran secara dalam talian yang menarik seiring memastikan murid dan pelajar sekolah mendapat akses untuk meneruskan pembelajaran sepanjang sekolah ditutup.

“Menjelang semester terakhir pengajian, penuntut pra ijazah ini turut ditawarkan penempatan latihan industri selama lapan minggu di FrogAsia.

“Kerjasama ini secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka untuk menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan walaupun ketika ini banyak industri lain menarik semula tawaran penempatan latihan industri akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Dr Francis Yeoh, penggunaan teknologi dalam pendidikan adalah sesuatu yang dekat dengan UKM justeru pihaknya percaya UKM akan menjadi rakan kerjasama terbaik untuk membangunkan bahan pengajaran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, universitinya tidak terkecuali untuk merasai tempias penguatkuasaan PKP.

Ia kata beliau menyebabkan kaedah pengajaran dan pembelajaran di UKM kini beralih daripada menghadiri kuliah atau perbincangan secara bersemuka kepada 100 peratus kelas dan kuliah secara dalam talian.

Beliau juga berkata, UKM menggunakan sistem pengurusan pembelajaran miliknya sendiri iaitu UKMFolio™ sebagai platform pembelajaran rasmi untuk meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta peperiksaan secara dalam talian.

“Saya bagi pihak UKM mengalu-alukan peluang yang diberikan kepada penuntut kami untuk menyumbang kepada pembangunan Inisiatif Belajar Dari Rumah.

“Kami juga berterima kasih kepada Yayasan YTL kerana menawarkan 40 GB data percuma bagi talian YES 4G kad sim kepada 28,000 penuntut UKM.

“Untuk semester ini, kita sudah memulakan pembelajaran secara dalam talian sejak 27 April lalu dan kita faham tidak semua penuntut mempunyai capaian Internet berkelajuan tinggi di rumah.

“Justeru, inisiatif ini dapat membantu mengurangkan batasan penuntut terutamanya yang terpaksa bergantung kepada data telefon mudah alih bagi menjalani proses pembelajaran dalam talian serta berhubung dengan pensyarah masing-masing,” katanya.

Menurut Dr Mohd Hamdi, kerjasama antara UKM dan Yayasan YTL juga umpama “sambutan berganda” buat UKM yang akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya pada 18 Mei 2020.

“Perkongsian strategik dengan sektor swasta ini adalah sesuatu yang penting untuk pembangunan universiti ke arah menjadi salah satu institusi pengajian tinggi (IPT) bertaraf dunia pada masa hadapan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan