Kerajaan digesa pertimbang elaun khas kepada wartawan

KERAJAAN digesa mempertimbangkan elaun khas atau one- off (sekali bayaran) kepada golongan wartawan terutama wartawan sambilan dan kontrak.

Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM) Senator Datuk Razali Idris berkata, golongan wartawan juga adalah petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat mengenai Covid-19.

Menurutnya, wartawan terutamanya yang bertugas secara sambilan atau kontrak adalah wira tidak didendang turut terkesan berikutan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Setiap hari, wartawan tanpa menghiraukan keselamatannya sanggup turun padang melaporkan pelbagai tindakan dilakukan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui dan mengiktiraf wartawan adalah petugas di barisan hadapan sama seperti peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Razali berkata demikian ketika ditemui selepas melawat bekas jurufoto Utusan Melayu (M) Berhad, Azlan Baharom yang menghidap gout di kediamannya di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Terenggan Tengah (Ketengah) menjelaskan, kebanyakan wartawan terutama yang berkerja secara sambilan dan kontrak dikategorikan dalam B40 dan layak menerima bantuan khas secara sekali bayaran.

“Kerajaan boleh mendapatkan jumlah sebenar keseluruhan wartawan terutama secara sambilan dan kontrak daripada syarikat media.

“Saya juga sedia mengalas tanggungjawab untuk mendapatkan jumlah sebenar wartawan jika diberi peluang kerajaan,” katanya.

Razali menjelaskan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dicadangkan dapat menyediakan kertas cadangan untuk diserahkan kepada Muhyiddin yang sentiasa prihatin dengan nasib golongan media.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19