Kepatuhan komuniti maritim terhadap PKP memuaskan [METROTV]

PEMATUHAN komuniti maritim terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada pada tahap memuaskan dengan perairan negara dalam keadaan selamat dan terkawal.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, situasi itu boleh dilihat melalui statistik tangkapan sepanjang tempoh itu bermula Mac lalu menunjukkan penurunan sebanyak 38.30 peratus daripada 107 kes kepada 66 kes.

“Sebahagian besar kes tangkapan membabitkan Akta Perikanan iaitu sebanyak 31 kes, Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (17 kes) dan Akta Imigresen (lapan kes).

“Pemantauan berterusan aset laut dan udara sepanjang PKP banyak membantu ke arah pematuhan dalam kalangan komuniti maritim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zubil berkata, Malaysia juga terdedah kepada laluan masuk secara haram atau banyak titik panas berikutan faktor geografi negara yang terbuka dan bersempadanan dengan beberapa negara serantau.

Katanya, secara keseluruhannya, terdapat 75 kawasan titik panas dikenal pasti seluruh Malaysia merangkumi 64 kawasan di Semenanjung dan 11 di Sabah.

“Johor mencatatkan titik panas tertinggi dengan 15 kawasan, diikuti Negeri Sembilan iaitu 11 titik panas, manakala Selangor dan Melaka masing-masing 10 titik panas.

“Terdapat 18 kawasan titik panas di utara Semenanjung yang mana Kedah, Langkawi mencatatkan jumlah tertinggi dengan enam kawasan diikuti Pulau Pinang (lima), Perlis (empat) dan Perak (tiga).

“Tiada kawasan titik panas direkodkan bagi Sarawak dan negeri di Pantai Timur Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata, langkah drastik sedang dilakukan bagi mematahkan isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama sindiket tekong darat yang dijangka mula berleluasa selepas tamat tempoh PKP.

“Hasil kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), beberapa nama tekong darat di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka yang sudah disenaraikan akan diburu pihak polis dalam masa terdekat.

“Dalam tempoh ini juga, APMM berjaya mengusir keluar lebih 13 bot nelayan asing termasuk Vietnam dari perairan negara kerana menceroboh dan melakukan penangkapan ikan secara haram di perairan Pahang, Johor dan Sarawak,” katanya.

ANGGOTA APMM melakukan pemantauan di perairan negara sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. FOTO ihsan APMM
ANGGOTA APMM melakukan pemantauan di perairan negara sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. FOTO ihsan APMM

Menurutnya, satu pesawat udara AW139 sudah ditempatkan di Pulau Langkawi dan rondaan udara dilakukan setiap hari di sebelah utara sempadan perairan dan pantai barat negara.

“Beberapa aset laut juga akan digerakkan ke kawasan ‘hotspots’ yang bersempadan dengan Thailand dan Indonesia bagi mengesan dan mencegah kemasukan PATI serta aktiviti jenayah di laut khususnya dalam tempoh PKP dan memerangi pandemik Covid-19,” katanya.

Katanya, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) berfungsi sebagai sistem rangkaian radar yang beroperasi 24 jam bagi tujuan pengawasan supaya perairan negara sentiasa terpelihara dari ancaman jenayah.

“Secara tidak langsung SWASLA menjadi mata-mata bagi APMM dalam tugas pengawasan pada waktu malam di sepanjang Selat Melaka.

“Di samping itu, peranan SWASLA turut diperhebatkan dengan sentiasa mengaktifkan komunikasi berterusan dengan aset APMM di laut dan udara serta aset agensi sahabat seperti Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Beliau berkata, kolaborasi maklumat yang berpangkalan di SWASLA akan disalurkan terus kepada semua aset laut dan udara dari semasa ke semasa bagi memperkukuh kawalan sempadan perairan negara.

“APMM bersama agensi sahabat turut mengkordinasikan aktiviti dan pemantauan di kawasan titik panas pendaratan migran di sekitar Kedah dan Perlis.

“Kawasan ini dipantau secara berterusan dan dibantu oleh aset udara dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan