Kenderaan berat punca Jalan Puchong sesak

PENINGKATAN jumlah kenderaan berat terutama daripada sektor pembinaan yang melalui laluan Batu 11, Jalan Puchong menghala Shah Alam dan Putrajaya, di Serdang mengakibatkan kesesakan trafik luar biasa di lokasi berkenaan, semalam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, dianggarkan lebih 100 kenderaan berat melalui laluan itu pada satu masa.

“Sebelum ini, ada empat sekatan jalan raya (SJR) di seluruh daerah ini dan kami menambah dua lagi SJR termasuk di lokasi ini yang bermula jam 8 pagi, semalam.

“Sebaik SJR dikuatkuasakan semalam, kami mendapati terdapat banyak kenderaan melalui laluan ini yang sebelum ini digunakan oleh pengguna jalan raya bagi mengelak SJR di lokasi lain.

“Malah, dianggarkan lebih 100 kenderaan berat terutama daripada sektor pembinaan melalui jalan ini yang berulang alik dua hingga tiga kali menyebabkan kesesakan luar biasa berlaku, semalam,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan SJR di lokasi berkenaan, hari ini.

Ismadi berkata, masih ramai lagi orang awam mengambil kesempatan keluar rumah dengan mengemukakan alasan tidak masuk akal ketika diperiksa pihak berkuasa.

“Antara alasan tidak masuk akal diberikan adalah mahu membeli makanan di restoran pilihan yang berada di luar kawasan radius 10 kilometer dari tempat tinggal mereka.

“Tindakan pentingkan diri sendiri ini menyebabkan banyak kenderaan berada di atas jalan sekali gus menyebabkan kesesakan hingga beberapa kilometer di laluan utama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menahan 196 individu dan 143 kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini bagi tempoh 18 Mac lalu hingga semalam.

“Sebagai langkah perketatkan arahan PKP, kami turut menutup empat laluan iaitu Batu 7 Jalan Puchong menghala ke Jalan Klang Lama, Jalan Persiaran Puncak Jalil ke Bukit Jalil, Jalan Serindit di Puchong Jaya ke Taman Wawasan dan Jalan Layang-Layang menuju ke Lebuhraya Damansara-Punchong (LDP) yang ditutup di kedua-dua arah.

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya kekal berada di rumah kerana tindakan lebih tegas akan diambil pada fasa ketiga PKP ketika ini iaitu tangkap, direman dan dituduh di mahkamah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan