Kedah nafi buka kembali konsesi balak

KERAJAAN Kedah menafikan mahu membuka kembali konsesi balak, sebaliknya ia hanya cadangan untuk menyelesaikan masalah berbangkit selepas kelulusan konsesi pembalakan sebelum ini dibatalkan.

Pejabat Menteri Besar dalam kenyataan berkata, pihaknya perlu memberi penjelasan berhubung laporan berita ‘Kedah sedia pertimbang buka kembali konsesi balak’ berikutan ia mencetuskan kekeliruan dan polemik dalam kalangan netizen.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan sidang media hari ini, ia bukanlah satu cadangan untuk kerajaan negeri membuka kawasan baharu pembalakan.

“Sebaliknya ia hanya cadangan untuk menyelesaikan masalah berbangkit selepas kelulusan konsesi pembalakan yang diberikan kemudian dibatalkan kerajaan negeri sebelum ini sedangkan syarikat berkenaan telah membayar premium.

“Berikutan itu, implikasi yang terpaksa dihadapi kerajaan negeri sama ada berhadapan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi ataupun menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat konsesi berkenaan,” katanya, malam tadi.

Pejabat Menteri Besar menjelaskan, dalam hal ini kerajaan negeri bertegas bahawa kawasan lain yang diganti itu mestilah dalam kawasan hutan pengeluaran dibenarkan Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Keutamaan kerajaan negeri ialah kehidupan rakyat akan dipastikan tidak terganggu, tiada pencemaran, tidak ada penggondolan, hakisan, banjir lumpur dan lain-lain akibat yang boleh membawa kemusnahan kepada alam sekitar dan kehidupan manusia sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang.

“Langkah ini akan diperhalusi dan diberikan pertimbangan sewajarnya kerana jika kita bersedia untuk membayar tuntutan ganti rugi yang dianggarkan mencecah nilai RM1 bilion, hal kawasan ganti itu tidak timbul,” katanya.

Media hari ini, melaporkan kerajaan negeri sedia mempertimbang membuka kembali konsesi balak bagi mengelak membayar tuntutan hampir RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata syarikat terbabit sebelum ini dibatalkan konsesi mereka berikutan keputusan kerajaan negeri mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.