‘Keadaan baik, bekalan makanan cukup’

“SAYA dan rakan serumah dalam keadaan baik dan diberikan bekalan makanan mencukupi,” kata penghuni tempatan di Selangor Mansion, Tajuddin Farok, 52.

Tajuddin berkata, ketika pihak berkuasa datang untuk membuat makluman mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu, dia sedang tidur di dalam bilik sewa.

“Sebaik dimaklumkan rakan serumah mengenai perkara itu, kami sudah tidak boleh keluar dari rumah masing-masing.

“Malah, sudah ada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang datang ke rumah kami semalam untuk membuat bancian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tajuddin yang juga pemandu van berasal dari Sabah memaklumkan dia menetap di rumah sewa berkenaan bersama sembilan individu lain dengan bayaran sewa RM240 sebulan bagi setiap seorang.

“Saya ada dengar mengenai beberapa individu yang tinggal di kawasan ini disahkan positif Covid-19 sebelum dimaklumkan terdapat 15 kes positif dicatatkan.

“Setakat ini, saya dan sembilan rakan serumah yang lain tidak mempunyai sebarang simptom dan kami dalam keadaan sihat.

“Sejak penutupan kawasan ini, tiada sebarang masalah yang timbul kerana bekalan makanan juga disediakan pihak berkuasa dan kami hanya perlu bersabar hingga perkara ini selesai,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bangunan Selangor Mansion dan bangunan Malayan Mansion, Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, dikenakan arahan PKPD berkuat kuasa 7 April lalu sehingga pengesanan tamat.

Keputusan itu dibuat kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan selepas terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 di bangunan berkenaan sehingga 6 April lalu.

PKPD di dua bangunan itu membabitkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19