Kaunter permohonan rayuan BPN dibuka 30, 31 Mei

KAUNTER permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dibuka di semua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Sabtu dan Ahad ini (30 dan 31 Mei), kecuali di Sabah dan Labuan kerana cuti umum Pesta Kaamatan.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan kaunter rayuan itu akan beroperasi dari 8 pagi hingga 4 petang.

LHDN berkata bagi pemohon BPN di Sabah dan Labuan, kaunter permohonan rayuan BPN dilanjutkan ke hari bekerja berikutnya iaitu pada 2 Jun.

“Pemohon yang permohonan atau rayuannya tidak diluluskan sebelum ini boleh mengemukakan permohonan rayuan dengan hadir ke kaunter perkhidmatan LHDN yang terdekat atau melalui e-mel ke [email protected] bersama-sama dokumen sokongan yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

LHDN menyatakan langkah berkenaan bertujuan memastikan golongan yang benar-benar layak tidak tercicir daripada menerima bantuan itu.