Kasihannya penoreh getah

PENOREH getah di Temerloh rugi RM141,590 selepas diperdaya sindiket ‘Phone Scam’ yang mendakwa dia terbabit judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, mangsa berusia 59 tahun membuat laporan semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, kejadian bermula pada 27 April apabila mangsa dihubungi seorang individu mendakwa talian internet didaftarkan atas namanya digunakan untuk judi dalam talian dan akan dipotong.

“Mangsa kemudian bercakap dengan suspek mendakwa pegawai polis yang turut menghantar pesanan WhatsApp memberitahu dia disenarai hitam kerana jenayah itu, serta diarah memindahkan wang untuk menyelesaikan kes itu.

“Mangsa memindahkan wangnya ke dalam akuan diberi suspek serta turut menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

“Pada 12 Mei lalu, mangsa menyemak akaun banknya dan mendapati terdapat pindahan wang sebanyak RM141,590 kepada empat akaun berbeza yang membabitkan 16 transaksi,” katanya, hari ini.

Mohd Yusri berkata, usaha memburu suspek giat dilakukan dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan kepada pihak yang tidak dikenali.

“Tamatkan segera perbualan dan jangan panik seterusnya buat semakan terus dengan balai polis berhampiran,” katanya.