Kantoi tak letak harga ayam

PENIAGA ayam kantoi selepas gagal pamerkan harga ayam dijualnya ketika pemeriksaan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jerantut di pasar basah di Lipis hari ini.

Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP Jerantut Abdul Mubin Ahmad berkata, lelaki berusia 34 tahun itu dikenakan kompaun serta-merta kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 kerana gagal mempamerkan tanda harga.

Menurutnya, peniaga itu dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000.

Katanya, pihaknya membuat pemeriksaan di 34 premis yang terdiri dari gerai menjual ayam, daging, ikan, sayur dan barangan runcit di pasar basah berkenaan.

“Kita akan terus membuat pemeriksaan di setiap premis perniagaan di sekitar Lipis dan Jerantut khususnya tempat yang menjadi tumpuan orang ramai dalam operasi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa dijalankan.

“Selain itu, kita akan membuat siasatan jika menerima aduan daripada orang ramai terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menjual barangan lebih daripada harga kawalan seeprti ditetapkan oleh kerajaan khususnya di musim perayaan ini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan peniaga agar sentiasa mempamerkan tanda harga untuk mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka.