Kantoi jual karipap sekali dengan air ketum

TINDAKAN seorang wanita menjual karipap sekali dengan air ketum membawa padah apabila ditahan polis di gerainya di Kampung Bendang Baru di Langkawi, hari ini.

Wanita berusia 45 tahun itu dicekup anggota dari Balai Polis Kuah susulan aduan awam pada 3.50 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek mengakui menjual air ketum bagi menambah pendapatan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Suspek menjual karipap di gerainya dalam PKP adalah semata-mata helah mahu mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelak orang awam menghidu jenayah dilakukannya.

“Pemeriksaan menemui 44 bungkus plastik lut sinar mengandungi cecair dipercayai air ketum dengan anggaran 13.2 liter di dalam gerainya,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mohd Iqbal berkata, polis turut merampas sebuah tong berwarna hitam dipercayai digunakan untuk menyimpan bungkusan air ketum.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga penduduk tempatan mengaku memperoleh bekalan air ketum daripada seorang lelaki dikenali sebagai Mat dari Kampung Ewa.

“Suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan