Kantoi bungkus dadah dalam rumah

POLIS mematahkan sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah yang beroperasi di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dalam serbuan 10.25 pagi itu, polis merampas 1,804 paket dadah heroin dan methamphetamine bernilai lebih RM285,000.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen Selangor.

Katanya, dua suspek berusia 30 dan 33 tahun yang bersembunyi ketika serbuan di rumah berkenaan berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui 1,804 paket dadah heroin dianggarkan seberat 5,160 gram dan methamphetamine anggaran berat 175 gram serta alat penimbang digital dan paket plastik lut sinar yang belum digunakan.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan dipercayai digunakan suspek untuk pengedaran dan penghantaran, wang tunai berjumlah RM43,850 dan seutas rantai dipercayai hasil aktiviti pengedaran itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, kedua-dua suspek ditahan dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, suspek pertama direman tujuh hari sehingga 23 Mei manakala suspek kedua direman lima hari sehingga 21 Mei.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.