Kan dah kena…

EMPAT pemuda ditahan ketika leka bermain meriam besi di ladang kelapa sawit di Felda Besout 4, Muallim. Mereka kini ditahan reman tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menyerbu lokasi itu pada 6.30 petang semalam, hasil maklumat awam dan lelaki berusia antara 21 tahun hingga 32 tahun diberkas bersama peralatan berkaitan.

“Kita merampas alatan bermain meriam iaitu paip besi, sebungkus plastik karbaid, sebotol kecil minyak diesel, sebatang lampu pelita, pemetik api dan sebatang kayu serta buluh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

“Mereka juga disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.