Kan dah kena saman…

KESERONOKKAN beberapa golongan muda menunggang motosikal tanpa menghiraukan undang-undang membawa padah apabila mereka dikenakan tindakan saman dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Baru Pulau Bunting-Ulu Sedaka, di Yan, semalam.

Dalam operasi yang bermula 5 petang hingga 9 malam, sebanyak 108 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan serta empat motosikal disita.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, tindakan menyita diambil mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan ubahsuai berlebihan dan tidak selamat ditunggang di atas jalan raya.

“Daripada jumlah saman yang dikeluarkan, empat daripadanya membabitkan remaja berusia bawah 18 tahun.

“Antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan juga ubahsuai kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahnaz berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak terutama ketika negara masih dilanda wabak Covid-19.

“Demi keselamatan semua, pantaulah pergerakan, pergaulan dan aktiviti anak-anak ketika musim Covid-19 ini.

“Ibu bapa juga diharapkan sentiasa menasihatkan anak-anak supaya tidak mengubah suai motosikal kerana ia tidak mendatangkan kebaikan,” katanya.