Kadar zakat fitrah Kedah kekal

KADAR zakat fitrah bagi negeri Kedah tahun ini kekal iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras yang dimakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata, bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan berkenaan berikutan penularan Covid-19, pihaknya menyediakan beberapa platform dalam talian .

Katanya, bayaran boleh dilakukan menerusi laman Web Jom Zakat atau menerusi Asnaf Care dan aplikasi Zakat On Touch (ZOT) bagi Android dan iOS.

“Terdapat ramalan pakar bahawa penularan wabak Covid-19 mungkin tidak akan reda sepenuhnya menjelang Ramadan, jadi kita mengambil langkah proaktif dengan menyediakan beberapa platform

alternatif.

“Selain memudahkan orang ramai, ia juga akan memastikan proses kutipan zakat fitrah di negeri Kedah tetap berjalan lancar pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Selain itu, Zakaria berkata, LZNK juga dalam proses untuk menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah melalui medium e-wallet seperti Touch ‘n Go e-Wallet, Boost dan lain-lain.

Di samping itu katanya, LZNK akan bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi yang bersesuaian untuk melaksanakan dan memudahkan pembayaran zakat fitrah melalui platform syarikat-syarikat berkenaan.

“Bagaimanapun untuk kemudahan golongan masyarakat yang tidak mempunyai kemudahan akses secara dalam talian, LZNK akan merujuk kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat supaya dibenarkan menjalankan proses kutipan zakat fitrah secara biasa di kariah masing-masing dengan tahap yang minimum tanpa mengabaikan tatacara atau prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yangditetapkan,” katanya.