‘Kabo doh, degil sangat’

LELAKI ditahan selepas membuat kecoh ketika anggota polis menahan adik bersama tiga lagi rakannya kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kampung Sura Hujung di Dungun malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum itu, empat lelaki dikesan tidak mematuhi PKP ketika sepasukan anggota polis bersama dua anggota tentera melakukan rondaan pemantauan Op Covid-19 kira-kira 10.30 malam.

Menurutnya, mereka itu dikesan berada di depan sebuah rumah dan kemudiannya masuk ke dalam kediaman itu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Anggota rondaan kemudiannya memperkenalkan diri sebelum pintu rumah dibuka seorang lelaki. Keempat lelaki itu diperiksa.

“Pada masa yang sama, datang seorang lelaki iaitu abang kepada seorang daripada lelaki itu dari belakang rumah dan membuat kecoh dengan mendakwa jorannya hilang.

“Polis meminta lelaki itu tidak membuat kecoh dan pulang ke rumah tetapi lelaki berkenaan sekali lagi dan terus membuat kecoh serta enggan pulang ke rumahnya sebelum anggota kami bertindak menahannya,” katanya.

Menurutnya, kesemua lelaki berkenaan yang berusia 18 hingga 40 tahun itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka berkumpul di rumah itu untuk bermain ‘game’.

“Seorang daripada mereka juga dikesan positif dadah jenis methamphetamine hasil saringan awal air kencing.

“Lelaki berusia 35 tahun itu juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya ADB 1952 dan dua rekod Seksyen 15(1) akta yang sama,” katanya.

Baharudin berkata, mereka itu ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 269 KK.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan