Juragan bot terjun ke laut larikan diri

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 372 karton rokok melalui kawasan perairan Tinagat, dekat Tawau, hari ini.

Serbuan 4.30 pagi itu membolehkan rokok dianggarkan bernilai lebih RM16,000 dirampas di dalam sebuah bot pam yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Siva Kumar Vengadasalam berkata, sepasukan anggotanya berjaya mengesan pergerakan bot pam itu dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan rutin di kawasan berkenaan.

“Anggota kami menghampiri bot pam terbabit untuk menjalankan pemeriksaan, bagaimanapun juragan bot itu bertindak terjun ke laut dan berenang ke arah pantai berhampiran sebelum kelibatnya gagal dikesan.

“Pemeriksaan ke atas bot pam yang ditinggalkan suspek dan menemui bungkusan hitam mengandungi rokok dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

“Semua barang rampasan termasuk bot bersama enjin sangkut dianggarkan bernilai lebih RM22,000 dibawa ke Jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.