Jumpa lebih 2 tan minyak masak dalam rumah

SERBUAN terhadap sebuah rumah di Kampung Renab, Ayer Lanas, Jeli dekat sini, 4 petang semalam membawa kepada penemuan 2.21 tan minyak masak bernilai RM5,637.50 yang cuba diseludup ke negara jiran.

Bagaimanapun, pada serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Cawangan Tanah Merah itu, suspek lelaki berusia 30-an dapat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Daerah Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, operasi dijalankan bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) hasil maklumat awam serta risikan.

“Selain minyak masak, kami menemui 90 liter petrol. Semua barangan terbabit diletak di dapur dan untuk diseludup ke negara jiran.

“Suspek mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyimpan stok terbabit dalam rumah yang lengkap seperti dihuni keluarga dan bukan kediaman kosong,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Tanah Merah di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya percaya suspek menunggu masa sesuai untuk menyeludup barangan berkenaan melalui Sungai Golok.

Ini kerana, ketika ini, kawalan cukup ketat dilakukan pihak berkuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tambahan pula, lokasi rumah terbabit hanya kira-kira 250 meter daripada tebing Sungai Golok. Ia memudahkan usaha untuk menyeludup barangan berkenaan,” katanya.

Menurut Ahmad Azizi, hasil siasatan, berdasarkan jenama minyak masak dirampas, suspek memperoleh bekalan terbabit daripada sebuah kilang di sekitar Lembah Klang.

Katanya, suspek masih dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan