Jumpa ketulan ganja di lantai kereta

SEORANG lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan bersama tiga ketulan daun kering mampat dipercayai ganja dalam sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Persiaran Kayangan, Seksyen 7, Shah Alam, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada 3.15 petang itu, anggota Balai Polis Seksyen 6 sedang menjalankan SJR di laluan itu dan menahan Perodua Myvi dipandu seorang lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan menemui satu bungkusan plastik berwarna putih dengan logo sebuah syarikat penghantaran barang di lantai tempat duduk belakang.

“Apabila dibuka, kita mendapati tiga ketulan mampat dedaun kering di dalam bungkusan itu disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 470 gram,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan dibantu pasukan JSJN Bukit Aman ke rumah suspek di sekitar Seksyen 7, Shah Alam.

Katanya, pasukan serbuan berjaya menahan wanita tempatan berusia 25 tahun di dalam rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan menjumpai tiga balutan kertas timah yang mengandungi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 23 gram.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,600 serta mata wang asing iaitu 360,000 Vietnamese Dong disyaki hasil daripada jualan dadah berkenaan.

“Kedua-dua suspek adalah pasangan kekasih serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Baharudin berkata, suspek lelaki ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 21 April manakala suspek wanita ditahan reman empat hari mulai hari ini sehingga 18 April bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.