Jumpa bom mortar dalam parit

SEORANG pekerja kilang terkejut apabila menemui dua butir bom mortar dalam parit berdekatan Rumah Awam 2, Pulau Sebang, Alor Gajah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, bom sepanjang 12 inci jenis Mortar 81mm ILLUM dipercayai peninggalan zaman Perang Dunia Kedua, ditemui individu berusia 39 tahun itu pada 11.15 pagi.

“Kedua-dua butir bom mortar terbabit dijumpai dalam parit tidak berair ketika dia mahu membersihkan kawasan berkenaan untuk memetik cili api ditanamnya di lokasi itu.

“Susulan itu, sepasukan polis dari Cawangan Persenjataan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pergi ke tempat kejadian dan memusnahkan bom itu pada 2 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiga hari lalu, seorang juruteknik menemui tujuh butir bom tangan ketika sedang membersihkan kawasan rumahnya di Sungai Udang.