Judi dalam talian bertambah

KEGIATAN judi dalam talian menunjukkan peningkatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap sindiket berkenaan dalam masa terdekat.

“Berdasarkan maklumat diterima, kami mendapati kegiatan judi dalam talian semakin meningkat dengan pembabitan orang ramai yang berada di rumah sepanjang tempoh PKP.

“Saya bimbang wang bantuan disalurkan kerajaan kepada orang ramai akan ‘hilang’ kerana digunakan untuk berjudi.

“Justeru, kami akan mengambil tindakan terhadap sindiket ini dengan melancarkan operasi dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket yang cuba mengeksploitasi menggunakan pelbagai helah untuk melakukan penipuan.

“Sindiket penipuan sentiasa akan mencari peluang untuk menipu mangsa sebaik sahaja kerajaan mengumumkan bantuan untuk disalurkan kepada orang ramai.

“Orang ramai harus sentiasa berhati-hati terhadap taktik licik yang digunakan oleh sindiket penipuan bagi mengelak menjadi mangsa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan