Jualan tiket KTMB merosot 90 peratus

PENJUALAN tiket bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merosot 90 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad Asri Khalbi berkata, ia membabitkan beberapa perkhidmatan iaitu tren antara negeri dan bandar, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) serta komuter.

Menurutnya, situasi sama juga berlaku bagi penjualan tiket pulang ke kampung sempena sambutan Aidilfitri berikutan orang ramai tidak dibenarkan melakukan pergerakan rentas negeri.

“Kebiasaannya sebulan sebelum Aidilfitri tiket habis dijual tapi buat masa ini jumlah tiket masih banyak ada.

“KTMB tiada bidang kuasa untuk menghalang orang ramai membeli tiket.

“Namun, anggota polis ditempatkan di stesen untuk pemeriksaan berkala dan hanya individu yang mendapat kebenaran pihak berkuasa dibenarkan rentas negeri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ahmad Asri berkata, secara purata dianggarkan antara 30 hingga 40 penumpang sahaja menaiki tren bagi setiap perjalanan harian iaitu kira-kira 10 peratus berbanding 11,000 penumpang sebelum PKP.

Katanya, kapasiti satu jajaran kereta api yang mampu memuatkan 312 penumpang juga dihadkan kepada 150 penumpang saja bagi mengamalkan penjarakan sosial.

“Selain itu, KTMB turut menitik berat isu keselamatan penumpang yang mana individu mempunyai simptom seperti demam, batuk dan selesema tidak dibenar menaiki tren.

“Penumpang wajib menjalani pemeriksaan suhu dan memakai pelitup muka. Cecair pembasmi kuman juga disediakan di setiap stesen,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19