Jual koleksi figura demi salur bantuan

JIKA difikirkan sayang untuk menjual koleksi figura adiwira yang dimilikinya kerana setiap satunya mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Bagaimanapun, Muhammad Anis Fakhri Mohd Nesfu, 36, nekad menjual 20 ke 30 unit koleksi figura adiwira yang disimpannya antara lima ke enam tahun lalu demi membantu mereka yang kesempitan hidup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengurus Kanan Kejuruteraan Fasiliti di sebuah syarikat di Butterworth ini, dia bertindak demikian kerana berniat meringankan beban mereka yang ditimpa kesusahan.

“Tempoh PKP banyak memberi keinsafan kepada saya setiap kali membaca paparan di laman sosial mengenai mereka yang tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

“Mana tidaknya, ada di antara kita yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, jadi saya terpanggil untuk membantu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Anis Fakhri berkata, dia menjual koleksi figura adiwira antaranya Star Wars; Marvel Legends Series Avengers Infinity War; Beyblades dan Power Rangers secara atas talian menggunakan Facebook dan beberapa laman web lain.

“Wang hasil jualan itu saya serahkan kepada rakan-rakan terdekat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membeli barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak dan telur untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya tahu sumbangan ini tidaklah seberapa tetapi saya harap mereka yang kesempitan hidup tidak berlapar ketika menjalani PKP dan paling penting, duduk di rumah dengan tidak membahayakan diri di luar hingga terdedah kepada jangkitan Covid-19,” katanya.

Bapa kepada tiga anak yang menetap di Seberang Jaya itu berkata, hobi menyimpan koleksi figura adiwira itu bermula sejak 1995 dan dia kerap mengadakan pelbagai pameran berhubung minatnya itu.

“Saya minat mengetengahkan hobi ini kerana bukan saja mahu mengisi lapang dengan perkara berfaedah tetapi turut berkongsi minat dengan pengumpul koleksi lain di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Menceritakan aktiviti lain yang dilakukannya sepanjang PKP ini, Muhammad Anis Fakhri meluangkan masa bersama keluarga dengan mengajar anak-anaknya membaca al-Quran, solat berjemaah, membantu isterinya memasak dan mengemas rumah serta membimbing anak-anaknya melakukan kerja rumah yang diberikan guru mereka secara atas talian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan