Juadah unik Aidilfitri Orang Asli

JIKA kebiasaannya lemang dimakan bersama rendang atau sejenis manisan yang disebut ‘nise’ di Kelantan, namun ia berbeza dengan penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh dan Aring 5 di Gua Musang, apabila mereka menikmati lemang bersama dengan ikan kelah.

Ini kerana sungai yang terdapat di perkampungan mereka adalah lubuk ikan kelah dan ia adalah makanan yang mudah didapati dan menjadi kegemaran mereka sejak sekian lama.

“Ya, kami pun makan lemang juga tetapi ia dimakan bersama ikan kelah bakar atau dimasak berkuah kerana di sini ikan kelah mudah didapati di sungai sini.

“Bukan tidak ada daging atau ayam tetapi ia susah sedikit sebab kalau nak dapatkan ini kena keluar kampung untuk pergi ke pasar luar sana,” kata Tok Batin Kampung Kuala Koh, Muhammad Pokok, kepada Bernama, baru-baru ini.

Bezanya, kata Muhammad, mereka tidak menggunakan daun pisang seperti kelaziman tetapi menggunakan sejenis daun untuk dibalut beras di dalam buluh kerana ia akan mengeluarkan aroma yang wangi ketika dibakar.

Orang Asli adalah kaum yang mahir memasak nasi dalam buluh yang lazimnya dijamu kepada masyarakat luar yang datang ke perkampungan mereka.

Ikan kelah yang berharga sekitar RM200 bagi sekilogram dan boleh mencecah RM1,000 bagi seekor ikan pada harga semasa, kaum berkenaan akan makan berkelah beramai-ramai pada kelazimannya di Aidilfitri.

“Kami tidak pergi ke rumah-rumah sebaliknya kami semua anak beranak akan berkumpul untuk makan beramai-ramai sebagai tanda berakhirnya puasa,” katanya.

Bagi Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang, pula, amalan saling berkunjung penduduk kedua-dua kampung yang terletak tidak jauh tidak dilakukan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid-19.

“Cukuplah kami makan berkumpul tetapi jika tidak, kali ini kami makanlah di rumah masing-masing untuk mematuhi arahan kerajaan,” katanya.