Jawatankuasa kerja Malaysia-Singapura mesyuarat esok

SATU mesyuarat jawatankuasa kerja Malaysia dan Singapura akan diadakan esok bagi membincangkan isu pekerja kedua-dua negara.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara isu akan dibincangkan termasuklah perubahan kepada perjanjian membenarkan rakyat kita pulang ke tanah air.

Katanya, walaupun puluhan ribu berhasrat pulang, tetapi pihaknya dimaklumkan setakat semalam, hanya tiga orang yang berbuat demikian.

Menurutnya, rakyat Malaysia yang berada di Singapura tidak dibenarkan pulang selagi tidak mendapat pengesahan bebas Covid-19 daripada pihak berkuasa negara itu.

“Perjanjian awal kita dengan kerajaan Singapura ialah mereka sebelum pulang mesti membuat saringan. Itu perjanjian awal kita dan mereka mesti mengeluarkan surat yang mereka lepas saringan itu atau pun negatif Covid-19 ini.

“Tetapi ada sedikit perubahan dari segi perjanjian itu. Kita sudah pun meminta Kementerian Luar yang mana mereka mempunyai jawatankuasa kerja antara Malaysia dan Singapura berserta wakil Kementerian Sumber Manusia untuk berunding dari segi syarat yang baru ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kementerian Kesihatan meneliti beberapa kawasan baru yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, perkara itu masih di peringkat penilaian dan kerajaan lebih berfokus serta tidak mengambil radius yang terlalu luas seperti diputuskan sebelum ini.

“Dulu mungkin satu kampung saja terdapat kes positif, tetapi kawasan yang ditutup mungkin terlalu luas sampai radius lima kilometer dan sebagainya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19