Jamin semarak semula ekonomi Pahang

PAHANG memberi perhatian khusus dalam langkah menyemarak semula ekonomi negeri bagi tempoh pasca wabak Covid-19, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau juga berkata, perhatian sama turut diberi dalam menangani hal ehwal semasa dalam membendung penularan pandemik itu.

Terdahulu, beliau menjunjung kasih atas perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melanjutkan tempoh jawatannya dan 10 Exco.

“Patik mewakili Exco menjunjung kasih tidak terhingga ke sisi Pemangku Raja Pahang atas perkenan melanjutkan khidmat patik sebagai Menteri Besar serta Exco hingga ke tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 dibubarkan.

“Sehubungan itu, patik serta pacal-pacal Exco dengan ini menzahirkan janji serta tekad untuk meningkatkan lagi mutu khidmat bakti patik dan pacal-pacal sekalian,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, khidmatnya sebagai Menteri Besar dan lapan Exco sepatutnya berakhir semalam, atau genap dua tahun sejak diperkenankan untuk mentadbir negeri bermula 15 Mei 2018.

Manakala, khidmat dua lagi Exco berakhir 4 Jun atau genap dua tahun sejak pelantikan pada 5 Jun 2018.

Semalam, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dilapor berkata, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan melanjutkan tempoh jawatan Wan Rosdy dan 10 Exco.

“Dalam persekitaran normal baharu akibat wabak Covid-19, baginda berharap Menteri Besar dan Exco dapat menggembleng usaha bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas, di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Berita berkaitan:

  • MB, 10 Exco Pahang kekal jawatan