Inovasi bomba selamatkan nyawa

BUKAN sahaja perlu meredah api, malah anggota bomba perlu ‘memerah otak’ untuk mendapatkan idea bagi menghasilkan produk atau peralatan digunakan untuk menyelamatkan nyawa orang ramai dalam pelbagai situasi.

Antara situasi pernah dialami mangsa kebakaran termasuk terperangkap di dalam rumah akibat jeriji dipasang pada tingkap dikunci dengan mangga menyebabkan ada yang tidak berjaya menyelamatkan diri.

Berdasarkan pengalaman itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi membuat inisiatif mereka ensel pada jeriji yang mudah dibuka ketika berlaku kecemasan terutama membabitkan kebakaran.

Ketua BBP Bangi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Rosman Majid berkata, pihaknya mereka ensel jeriji mudah dibuka oleh individu berada dalam kediaman atau premis pada tingkap bagi memudahkan mereka keluar ketika kecemasan itu pada 2017.

“Ramai pihak menggunakan jeriji kekal pada tingkap menyebabkan sukar untuk mereka keluar ketika berlaku kecemasan seperti kebakaran.

“Justeru, kami mereka ensel pada jeriji boleh dilaras dari dalam selain menjadikan jeriji itu lebih mudah dibuka sama ada secara gelongsor atau lipat,” katanya.

Rosman berkata, ensel itu boleh diletakkan sama ada di bahagian bawah jeriji secara melintang atau di sisi kiri atau kanan tingkap dengan ukuran panjang ensel berpandukan saiz tingkap.

Beliau berkata, inovasi ini boleh dilakukan sendiri oleh pemilik kediaman atau premis dengan mengikut spesifikasi direka pihaknya.

“Malah, ada antara individu di sekitar Bangi pergi ke balai untuk meminta nasihat pihak bomba mengenai tahap keselamatan jeriji di rumah mereka,” katanya.

Bagi Ketua BBP Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Hazrin Zulkifli, jumlah kes tinggi membabitkan cincin terlekat pada jari selain bahagian sulit menyebabkan pihaknya mengambil inisiatif mereka Air Rescue Ring Cutter pada 2017.

Katanya, kebanyakan kes berkaitan diterima pihaknya dilaporkan pihak Hospital Sungai Buloh dan Penjara Sungai Buloh selain mangsa tampil di balai bomba selepas jari mereka membengkak.

“Sebelum ini, kami tidak mempunyai peralatan khas untuk memotong cincin di jari atau bahagian lain seperti pada alat sulit.

“Justeru, kami mereka produk ini yang merangkumi mata pemotong disambung melalui hos dengan silinder alat pernafasan menggunakan kuasa angin.

“Alat ini bukan sahaja mudah dibawa, malah ia memberikan ruang lebih besar untuk memotong kerana sukar untuk potong benda kecil seperti cincin sebab boleh bergesel dengan kulit, sekali gus menyebabkan mangsa bertambah sakit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan KIK Utara Penolong Kanan Penguasa Bomba Zaidi Ahtan berkata, pihaknya mencipta produk diberi nama g-Naret Smart Gas Detector selepas pasukannya mendapati peningkatan kes kebakaran rumah yang bermula daripada dapur gas.

Katanya, pemasangan produk itu di ruangan dapur dapat mengesan kadar peratusan kebocoran gas sebelum mengeluarkan bunyi penggera dan bertindak balas dengan menghantar notifikasi di telefon pintar selepas aplikasinya dimuat naik.

“Pengguna akan diberi maklumat mengenai tindakan keselamatan awal perlu dilakukan selain turut disediakan nombor kecemasan yang perlu dihubungi.

“Lebih membanggakan produk ini sudah mendapat kelulusan dan pengiktirafan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (Sirim) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Beliau berkata, produk itu sudah dipatenkan dan pihaknya bekerjasama dengan syarikat Crestronics (M) Sdn Bhd dan Jetfil Manufacturing Sdn Bhd dan ia sudah ada di pasaran bermula Oktober lalu.

Katanya, masih ramai tidak mengetahui mengenai kebaikan produk itu dan mereka boleh mendapatkan maklumat dengan menghubunginya di talian 013-6098282 atau e-mel pertanyaan di [email protected].