Ini tindakan wajar – KPN

KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan tindakan menahan dan menuduh di mahkamah ke atas individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah wajar.

Beliau berkata, tindakan lebih tegas itu dibuat susulan pelaksanaan kompaun sebanyak RM1,000 dilihat kurang berkesan, malah ada yang memperlekehkan perkara itu.

“Saya setuju (dengan tindakan itu) kerana ada menganggap kompaun itu sesuatu yang boleh diperlekehkan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Ditanya adakah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai lokap yang cukup bagi menampung individu ingkar PKP, beliau berkata, bilangan lokap sedia ada mencukupi.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis tidak lagi akan mengeluarkan kompaun bagi kesalahan mengingkari PKP.

Katanya, individu yang ingkar akan terus ditahan dan dituduh di mahkamah.

“Jumlah kumulatif yang ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 9,090 orang dan keseluruhan kompaun dikeluarkan berjumlah 4,036,” kata Ismail Sabri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan