Imigresen Sabah buka semula kaunter khidmat

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah membuka semula kaunter perkhidmatan untuk orang ramai.

Pengarahnya, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, kaunter perkhidmatan yang dibuka semula membabitkan tujuh bahagian.

Katanya, setakat ini, kaunter perkhidmatan membabitkan bahagian keselamatan dan pasport hanya untuk urusan rasmi bagi mereka yang belajar atau bekerja di luar negara.

“Bahagian Visa Pas dan Permit pula dibuka untuk urusan permohonan lanjutan pas lawatan sosial jangka panjang, pas kerja Malaysia, pas pelajar, dan pas ekspatriat.

“Kaunter Bahagian Penguat Kuasa dibuka bagi urusan pas khas untuk balik ke negara asal serta bayaran kompaun untuk Program Regularisasi,” katanya pada kenyataan hari ini.

Muhamad Sade berkata, pihaknya turut membuka kaunter Bahagian Pekerja Asing untuk lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh serta permohonan di bawah Program Regularisasi yang mendapat kelulusan kuota dan mempunyai pasport.

Menurutnya, selain itu, Bahagian Pengurusan dan Kewangan pula dibuka untuk urusan pentadbiran dan kewangan.

Kaunter Unit Khas pula untuk lanjutan pas lawatan sosial.

“Semua perkhidmatan kaunter pasport di Pejabat Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh Sabah turut dibuka.

“Bagaimanapun, urusan di kaunter berkenaan tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan,” katanya.

Sehubungan itu, Muhamad Sade berkata, sebarang permohonan urus niaga yang dinyatakan perlu dibuat melalui temujanji di pautan http://sto.imi.gov.my/e-temujanji.

“Orang awam yang hadir berurusan di pejabat JIM Sabah perlu mematuhi pelaksanaan protokol keselamatan dan kesihatan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19,” katanya.