Ikut harga ayam ditetapkan KPDNHEP

PENIAGA ayam segar di Pasar Besar Gua Musang akur ketetapan harga sekilogram ayam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang dikuatkuasa kelmarin.

Mereka menurunkan harga daripada RM9 sebelum ini kepada RM7.50 sekilogram serta merta bagi mengelak dikenakan tindakan.

Tinjauan di Pasar Besar Gua Musang mendapati peniaga ayam segar patuh kepada arahan turun harga menjelang Aidilfitri ini.

Seorang peniaga, Asmah Yusoff, 41, berkata, dia memperolehi ayam daripada pembekal juga dengan harga lebih rendah sedikit.

Katanya, jualan ayam segar itu terletak pada harga daripada pembekal dan semua peniaga tidak segaja menaikan harga sesuka hati.

Dia berkata, jualan ayam segar bukan memperolehi keuntungan besar dan ia bergantung kepada jumlah jualan ayam yang banyak setiap hari.

“Kita jual ayam segar dengan harga RM9 sekilogram sebelum ini juga disebabkan pembekal menjualnya dengan harga mahal,” katanya di Gua Musang, hari ini.

Sementara itu, seorang pengguna, Che Seman Abdullah, 56, berkata, penurunan harga ayam segar itu dapat mengatasi bebanan perbelanjaan.

Dia mengakui ayam adalah keperluan kepada semua pengguna samada penduduk yang tinggal di bandar atau dikampung.

Oleh itu, katanya, pengguna tetap membeli ayam segar walaupun dijual dengan harga lebih tinggi terutama bulan Ramadan dan persiapan Aidilfitri.

“Syukur Alhamdulillah kita dapat jimat belanja kerana dapat membeli ayam segar dengan harga standard ditetapkan KPDNHEP,” katanya.