Ikan 60kg habis dalam 90 minit

SEBANYAK 60 kilogram (kg) ikan pelaling dibawa dari Kuala Muda, Kedah, habis dijual kepada anggota komuniti terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Alor Gajah, hari ini.

Ahmad Fairus Mohamad, 37, membeli ikan itu untuk dijual kepada penduduk Kampung Londang, Masjid Tanah, Alor Gajah dan beberapa kampung sekitarnya mulai 8 pagi dan habis dalam tempoh 90 minit.

Ia sebahagian daripada usaha lelaki terbabit untuk membantu penduduk yang tidak bebas bergerak berbanding sebelum PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Beliau berkata, ikan itu diperoleh daripada peniaga ikan dari Kedah yang membawa bekalan dari Kuala Muda ke Kuala Lumpur, Seremban, Alor Gajah dan Johor pada 1 pagi hari ini.

“Dia singgah di beberapa lokasi termasuk Alor Gajah dan Masjid Tanah untuk mengagihkan ikan sebelum ke Johor dan saya mengambil peluang itu untuk membantu penduduk kampung yang terjejas akibat PKP.

“Saya jual pelaling pada harga RM8 sekilogram semata-mata untuk membantu anak kariah kampung yang sukar untuk bergerak ke pasar berikutan banyak sekatan jalan raya sekarang,” katanya.

Ahmad Fairus berkata, ikan berkenaan bukan sahaja segar, malah harganya lebih rendah berbanding ditawarkan di pasar raya dan pasar awam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19