i-Guru sokong tangguh sesi persekolahan

KEPUTUSAN kerajaan untuk menangguhkan sesi persekolahan sehingga negara pulih daripada wabak Covid-19 disambut baik pelbagai termasuk Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru).

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, langkah itu membuktikan kerajaan terbuka untuk menerima pandangan akar umbi terdiri daripada guru, ibu bapa, kesatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan.

Katanya, pihaknya menggesa semua warga pendidik, ibu bapa dan murid dapat agar menggunakan masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sebaik mungkin.

“Ia termasuk memaksimumkan penggunaan medium pembelajaran yang bersesuaian supaya proses pembelajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) dapat diteruskan.

“Ibu bapa diminta memantau perkembangan aktiviti anak masing-masing di rumah agar tidak dibazirkan masa dan waktu mereka kepada perkara sia-sia yang akhirnya merugikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

Mohd Azizee berkata, kunci kejayaan kepada proses pembelajaran secara atas talian ialah pengurusan masa, komitmen tidak berbelah bahagi, komunikasi dua hala antara ibu bapa dan guru serta disiplin belajar tinggi.

Beliau berharap semua pihak membabitkan guru, ibu bapa dan pelajar mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang PKP ini supaya dapat kembali ke sekolah semula dengan seberapa segera.

“Kami mengingatkan supaya semua pihak bersabar dan berdisiplin pada setiap masa dan ketika untuk sama-sama memerangi penularan wabak ini dengan mematuhi arahan PKP,” katanya.