Hon tiga kali kalau nak lemang

KAEDAH kreatif seorang peniaga di Johor Jaya, Johor Bahru mempromosikan jualan lemang dengan menampal poster di belakang keretanya, membuahkan hasil selepas mendapat permintaan ramai.

Menggunakan ayat ringkas ‘Nak lemang, sila hon tiga kali, kita parking tepi, kalau segan Whatsaap/Call 016-2362565’ itu berjaya menarik perhatian pengguna jalan raya.

Mohd Noh Shamsuddin, 31, berkata dia memulakan jualan lemang menggunakan Perodua Alza sejak 10 hari lalu.

Katanya, dia terpaksa mencari ikhtiar untuk pendapatan selepas dicutikan daripada pekerjaannya sebagai pemandu van berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tolak perasaan segan dan malu dengan menjual lemang dihasilkan rakan dengan cara ini di sekitar Johor Bahru.

“Pelanggan yang mahu lemang akan membunyikan hon tiga kali sebelum saya mencari kawasan selamat untuk berhenti bagi membolehkan mereka membeli dan memilih lemang, rendang serta serunding yang dijual.

“Walaupun ada juga pemandu nakal yang membunyikan hon tiga kali namun mereka tidak berhenti dan sebaliknya hanya ketawa, namun masih ramai yang memberi sokongan dengan cara saya ini,” katanya.

Menurut Mohd Noh, dia berjaya menjual 30 hingga 60 batang lemang sehari bermula 1 petang hingga waktu berbuka puasa.

Katanya, dia sebelum ini buntu bagi mencari wang menyara isteri dan dua anaknya apatah lagi menjelang Aidilfitri, namun mendapat idea menjual lemang menggunakan keretanya selepas melihat kaedah sama digunakan penjual air nira di Perak, ketika melayari Internet.

“Alhamdulillah dengan bantuan rakan, kami bekerjasama mencari rezeki dengan cara dia membuat lemang dan saya menjualkannya,” katanya.