Hina polis di FB kerana tertekan dengan PKP

LELAKI yang menghina anggota polis di Facebook (FB) ditahan selepas menyerah diri pagi tadi.

Suspek berusia 48 tahun sebelum ini memuatnaik gambar pegawai polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang sedang bertugas di Jalan Tun Jugah, Kuching di FB dan mengeluarkan kenyataan mengaibkan pegawai terbabit serta menghina kerajaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, perbuatan suspek tular di media sosial.

“Perbuatan itu dikesan pada 7.45 pagi semalam dan satu laporan polis diterima.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 kerana mengeluarkan perkataan atau isyarat bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang dan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semasa disoal siasat suspek memberikan alasan tertekan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berjalan.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan medium media sosial secara tidak wajar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan