Hilang lebih 95 peratus pendapatan bulanan sejak PKP

PENDAPATANNYA menghampiri RM10,000 sebulan namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, seorang peniaga biskut di Tunjang, Jitra hilang pendapatan bulanan lebih 95 peratus.

Mohd Yusrizal Yaacob, 44, berkata, tempahan biskut yang tinggi sebelum ini merudum apabila tiada permintaan daripada pelanggan.

Menurutnya, sejak 11 tahun menjalankan perniagaan, dia mengakui PKP memberi kesan sangat teruk dalam perniagaan.

“Memang sangat terkesan, mana tidaknya nak dapat jualan sebanyak RM300 sepanjang dua minggu pelaksanaan PKP pun susah.

“Dulu pelanggan saya terdiri daripada peniaga runcit, sekolah, kakitangan bank, hentian rehat & rawat (RNR), tempahan majlis keramaian seperti kenduri kahwin & sebagainya. Sekarang hanya tinggal peruncit yang terdekat sahaja yang masih membeli biskut saya, itupun hanya dua tiga kedai sahaja.

“Beberapa tempahan daripada rumah kenduri juga dibatalkan saat akhir dan saya terpaksa akur dengan perintah PKP demi kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Timbul, Tunjang di Jitra.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia terpaksa berjimat menggunakan duit simpanannya yang semakin terhad.

Katanya, selepas dua hari PKP dilaksanakan dia kehilangan bapanya akibat lumpuh dan sakit tua.

“Sebelum ini perniagaan saya sedikit terjejas lebih kurang selama dua bulan kerana menjaga orang tua (yang sakit terlantar), selepas itu sambung pula PKP.

“Lima anak saya masih bersekolah. Apa pun kebajikan tiga pekerja saya akan bantu mana yang patut, mujurlah Kerajaan umum peruntukkan tambahan sebanyak RM10 bilion bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Malah dalam masa yang sama saya boleh menarik nafas lega kerana dibenarkan menangguh bayaran pinjaman sebanyak RM500 sebulan dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional,” katanya.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) PKS Tambahan bernilai RM10 bilion bagi membantu golongan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan