Hidup penduduk PKPD Sungai Lui bagaikan pengemis

“SUNGGUH terseksa, kami bagaikan pengemis dan berharap kepada barangan percuma. Sistem pengurusan untuk pembahagian makanan di PKPD Sungai Lui sangat teruk dan mengecewakan.

Itu luahan seorang penduduk Batu 22, Kampung Tengah, Sungai Lui, Hulu Langat selepas daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan mendakwa sistem pengurusan makanan tidak diagihkan dengan betul serta adil.

Penduduk kampung dikenali sebagai Siti Azrah, 36, berkata, ketua kampung di kawasan itu dikenakan kuarantin berikutan mempunyai kontak dengan salah seorang yang positif Covid-19.

“Disebabkan itu, dia menyerahkan tugas kepada penduduk kampung lain untuk agihan makanan walhal ini adalah bawah bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kami penduduk Kampung Tengah sering menjadi mangsa apabila penduduk yang terakhir menerima bekalan makanan dan kadang-kadang tiada langsung bekalan makanan untuk kami,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, bekalan makanan yang ada terpaksa digunakan sebaiknya dan berjimat cermat berikutan bimbang PKPD dilanjutkan di daerah itu.

MINUMAN manis.
MINUMAN manis.

“Kami tidak kisah jika dilanjutkan, tetapi tolong jaga kebajikan penduduk. Kami bukan mahu dilayan seperti orang dari kayangan, tidak meminta diberikan KFC, Pizza Hut mahu pun dilayan seperti orang kenamaan lain, cukup barangan asas untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Bayangkan, jiran saya diberi sardin setiap hari dan darah tingginya naik mendadak, saya pula menerima bekalan air manis sedangkan ibu saya penyakit kencing manis, bekalan makanan asas yang lebih penting kami perlukan ketika ini seperti minyak masak, beras, telur dan sebagainya,” katanya.

Dia yang sudah menetap 29 tahun di kampung itu berkata, sehingga hari ini mereka sekeluarga tidak pernah mendapat minyak masak dan telur seperti keluarga lain.

“Saya terkilan, kami tidak boleh tempah barang daripada luar, jadi kami menanti di tepi jalan hingga Maghrib. Setiap hari kami menunggu, tetapi tiada barangan yang tiba.

“Barangan bantuan melimpah-limpah di dewan tetapi cara agihan pula tidak telus. Bagaikan pengemis, jika mereka jual pun barangan itu, kami sanggup beli demi kelangsungan hidup. Sardin menjadi makanan utama yang dibekalkan dan penghidap darah tinggi tidak mempunyai pilihan lain,” katanya.

Sementara itu, luahan sama turut dikongsi penduduk Batu 23, Sungai Lui, Shahriman Md Radzi, 44, yang merasakan sistem agihan makanan di PKPD Sungai Lui sangat lemah.

“Kami diberitahu setiap tiga hari sekali kami akan menerima barangan, bagaimanapun apa yang kami lihat ialah ia mengambil masa empat hingga lima hari.

“Itupun barangan tidak lengkap hingga penduduk terpaksa berjimat cermat. Berikutan sistem tidak teratur ini menyebabkan ada penduduk terpaksa menyeludup makanan menggunakan lorong tikus supaya dapat meneruskan hidup,” katanya yang sudah menetap hampir 15 tahun di kampung itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan