Hati tersangkut kerana budi baik

PENGURUSAN Rumah Anak Yatim dan Miskin (Payasum) Paya Rumput Jaya, Sungai Udang terharu menerima sumbangan menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020, sekali gus membantu pembangunan pusat berkenaan yang menguruskan 97 pelajar miskin.

Pengurus Payasum Khadzir Jantan berkata, usaha Harian Metro dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2) itu memberi makna besar kepada pengurusan untuk terus mendidik pelajar berkenaan menjadi insan cemerlang untuk masa depan negara.

Katanya, pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua pelajar pulang ke kediaman masing-masing serta rumah penjaga mereka termasuk di Jasin, Masjid Tanah, Alor Gajah selain di Perak, Negeri Sembilan dan Muar, Johor.

Sehubungan itu, sepanjang Ramadan pihak pengurusan mengagihkan keperluan harian ke rumah pelajar berkenaan berikutan mereka tidak berada di asrama.

“Sepanjang tempoh terbabit rombongan pengurusan melakukan tiga kali penghantaran keperluan asas hasil sumbangan orang ramai selain bantuan daripada Payasum sendiri.

“Malah, ketika kunjungan berkenaan pihak kami turut membantu keluarga miskin berdasarkan keadaan dan situasi semasa keluarga yang dilawati malah tidak terhad kepada pelajar berkenaan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan bantuan juga sampai kepada pelajar yang berada di luar Melaka, pihaknya membuat permohonan kepada pihak berkuasa untuk menghantar sumbangan di Perak dan Negeri Sembilan serta Johor bermula 28 Jun.

Sementara, bagi bantuan makanan bermasak yang dihantar orang ramai sepanjang Ramadan pihaknya mengagihkan kepada sembilan keluarga yang terdiri daripada kategori asnaf berhampiran pusat berkenaan.

Khadzir berkata, sekolah yang dibina sejak 1940 itu pernah musnah terbakar sepenuhnya pada 1962 namun kembali didirikan menerusi sumbangan orang ramai, agensi kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) itu turut melahirkan ramai ilmuan termasuk bekas mufti.

Apapun dia amat menghargai sumbangan TKHM Ramadan 2020 yang membabitkan pusat berkenaan selain rumah kebajikan lain seperti rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya di Semenanjung.

TKHM Ramadan 2020 mendapat kerjasama PLUS dan LPT2 membantu rumah kebajikan terpilih dengan menyalurkan dana terkumpul RM65,000.

Pendekatan program kali ini berbeza berbanding tahun sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19.

Semua 13 rumah kebajikan di Semenanjung berkenaan dipilih PLUS selepas disenaraikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dibahagikan kepada wilayah utara, selatan, timur dan tengah.

KHADZIR
KHADZIR