Hanya selipar, baju raya jadi kenangan

SEPANG: “KEBIASANNYA setiap kali menjelang Syawal, arwahlah yang sibuk membantu keluarga membuat persiapan Hari Raya dengan mengemas rumah dan menjaga adik-adik.

“Sekarang saya dan keluarga hanya mampu mengimbau memori lalu dan gurau sendanya sehinggakan kami terpaksa berpindah rumah bagi melupakan kenangan bersama arwah,” kata Zaidi Zainal Abidin, 43, berhubung sambutan Syawal tahun ini tanpa anak perempuan sulungnya, Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, yang meninggal dunia pada 21 Januari lalu.

Nur Aida Rafhanah maut selepas dirempuh kenderaan ketika melintas jalan berdekatan Klinik Kesihatan Olak Lempit untuk menunggu bas ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang, Olak Lempit.

Dalam kejadian langgar lari itu, arwah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakan baiknya, Aina Safiyah Saparin, 13, cedera.

Zaidi berkata, kini hampir empat bulan arwah Nur Aida Rafhanah atau nama panggilan ‘Intan’ meninggalkan mereka dan amat sukar melupakan kenangan bersama arwah lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya yang bakal tiba beberapa hari lagi.

Menurut Zaidi, dua adik kembar arwah, Nur Aida Afiqah dan Nur Aida Aqilah, 8, sering bertanyakan kakaknya dan apabila rindukan arwah mereka akan menangis.

Katanya, kesungguhan anak sulungdaripada lima beradik itu masih segar di ingatannya dan setiap kali menjelang Ramadan akan membantu ibunya membuat persiapan berbuka puasa dan Hari Raya.

“Arwah sangat rajin dan menyanyangi adik-adiknya. Ketika saya dan isteri keluar ke pekan mencari barangan keperluan dapur arwah akan menjaga dan menyediakan susu dua adiknyayang masih kecil, Nur Safraa, 4, dan Dian Alisha Amanda, 1.”

“Awal bulan ini kami baru sahaja berpindah menyewa rumah baharu kerana banyak memori di rumah sebelum ini dan selagi tinggal di sana sukar bagi kami untuk melupakan kenangan bersama arwah.

“Arwah Intantidak pernah membantah sebarang jenis kerja bagi membantu kami di rumah dan kami sering nasihatkan supaya berhati-hati ketika ke sekolah dan keluar rumah, namun takdir Allah mengatasi segalanya.

“Sebelum ini kami mengharapkan arwah berjaya dalam bidang pelajaran dan menjadi contoh kepada keluarga, namunkami reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa agar rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya ketika ditemui di Kampung Olak Lempit di Sepang.

Sementara itu, ibu arwah, Suzana Taslim, 36, berkata, beberapa hari sebelum meninggal dunia beliau sempat menunaikan permintaan arwah bagi membelikan sepasang selipar dan baju sedondon berwarna kuning untuk dipakai ahli keluarga di pagi Hari Raya.

Suzana berkata, dia juga sempat menghantar tempahan baju raya itu kepada tukang jahit dan membatalkan selepas arwah meninggal dunia.

“Manakala selipar itu, arwah sempat mencuba beberapa kali dan memaklumkan sayang untuk diguna kerana mahu dipakai di pagi Hari Raya.”

“Waktu itu, saya tidak terfikir apa yang cuba disampaikan arwah dan kini saya gunakan sebagai tanda ingatan terhadap beliau.

“Bila terasa rindukan arwah kami sekeluarga akan menziarahi pusaranya dua minggu sekali dan hanya itu menjadi pengubatbuat kami sekeluarga,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Tak putus asa berdoa
  • Mahu kematian Nur Aida Rafhanah terbela
  • Pengusung jenazah ‘simbol’ protes penduduk
  • Suspek langgar lari masih bebas
  • ‘Arwah penyayang, suka ambil berat’ [METROTV]
  • Pelajar maut, rakan cedera dilanggar lari