Halau gajah ceroboh penempatan penduduk

JABATAN Hidupan Liar (JHL) hari ini akan menjalankan usaha menghalau kira-kira 100 gajah yang menceroboh kawasan penempatan peneroka di Anjung Teduh, Felda Sahabat, Tungku dekat Lahad Datu ke Hutan Simpan Tabin.

Pegawai JHL Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, tugas menghalau itu digalas lapan staf JHL dan dibantu komuniti peneroka di Felda Sahabat.

“Ada pengawalan (halau) besar-besaran hari ini di Felda Sahabat. Kami akan menggunakan mesin traktor serta alat-alat bunyian untuk menarik perhatian sekaligus menghalau masuk ke hutan simpan yang berjarak 10 kilometer,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, gajah berkenaan dipercayai mahu mencari makanan sehingga menceroboh tanah peneroka dan menimbulkan kebimbangan penduduk.

Sebelum ini, dilaporkan penduduk di sekitar kawasan itu bimbang dengan kehadiran gajah di kawasan penempatan mereka.

Difahamkan gajah-gajah itu memakan tanaman penduduk dan suka menggeselkan badan pada tiang rumah penduduk.

Sementara itu, Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata kawasan berkenaan kerap kali diceroboh oleh kawanan gajah pada tahun ini.