Halang syarikat arak beri sumbangan terus ke sekolah – CAP

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya tidak membenarkan syarikat minuman keras memberi apa-apa sumbangan kepada pihak sekolah.

Ia berikutan sumbangan itu dilihat akan menjadi satu bentuk promosi terhadap jenama minuman keras mereka.

Pegawai Pendidikannya NV Subbarow berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada guru dan ibu bapa di negeri berkenaan mengenai syarikat minuman keras yang menawarkan sumbangan termometer percuma ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh Malaysia.

Katanya, CAP dimaklumkan, pihak sekolah yang berminat boleh mengemukakan permohonan sebelum 15 April sebelum diagih selepas tarikh berkenaan.

“Pengadu bimbang sekiranya tindakan itu secara tidak langsung akan mempromosikan jenama minuman keras dalam kalangan murid sekolah.

“Jika ia diteruskan, CAP bersama ibu bapa dan pihak sekolah yang berkaitan akan mengadakan bantahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, syarikat terbabit mengumumkan sumbangan termometer kepada SJKT di seluruh Malaysia sebagai inisiatif memulakan semula pembelajaran dengan yakin selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut Subbarow berkata, sumbangan itu tidak wajar diberi secara terus kepada pihak sekolah tetapi perlu melalui KPM atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, pihak sekolah khususnya guru besar yang mahu meminta sumbangan perlulah menerusi kebenaran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.

“Jangan benarkan syarikat minuman keras ‘masuk’ ke institusi pendidikan kerana ia akan membuka lebih banyak peluang lain.

“Umum mengetahui minuman keras adalah antara punca masalah besar kepada orang ramai termasuklah masyarakat India,” katanya lagi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan