Geng pecah rumah ditahan

DUA lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pecah rumah di sekitar Petaling Jaya dalam serbuan di Taman Subang Indah, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 26 tahun itu ditahan atas maklumat dan risikan dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya 2.30 pagi tadi.

“Kami merampas sembilan telefon bimbit, satu parang serta enam kad pengenalan, lapan lesen memandu dan satu kad vokasional milik individu lain.

“Semakan mendapati semua kad terbabit milik individu lain yang pernah membuat laporan polis kerana menjadi mangsa kes jenayah pecah rumah, samun dan curi dalam kenderaan,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai sembilan rekod jenayah berkaitan dadah dan samun jalanan, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod.

“Kedua-dua suspek akan direman pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

“Kami percaya berjaya menyelesaikan 14 kes dengan penahanan dua suspek berkenaan yang dipercayai mendalangi beberapa kegiatan pecah rumah di daerah ini setakat ini,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Nik Ezanee memaklumkan terdapat beberapa laluan ditutup dan pertambahan sekatan jalan raya akan dilakukan bermula 12 tengah malam, Jumaat ini.

“Senarai laluan ditutup dan lokasi tambahan sekatan jalan raya di sekitar daerah ini akan diumumkan petang nanti.

“Justeru, saya menggesa masyarakat di daerah ini supaya merancang pergerakan anda dan bersabar. Kita teruskan sifar kes baharu Covid-19 di daerah ini,” katanya.