Geng Emmi Besi tersungkur

POLIS menahan enam lelaki dikenali sebagai Geng Emmi Besi selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri besi struktur binaan dan melakukan pencerobohan di kawasan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, dengan sogokan RM150 hingga RM700 bagi setiap urus niaga kepada pengawal keselamatan bertugas untuk membuka pintu pagar, kumpulan yang dipercayai aktif sejak setahun lalu itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada Ahad lalu dan semalam.

Katanya, modus operandi yang digunakan adalah dengan cara memanipulasi dokumen menerusi orang dalam, selain memberi laluan di pintu masuk bagi membolehkan lori treler masuk melepasi tapisan keselamatan ke kawasan Rapid Pengerang.

“Bagi serbuan pertama Ahad lalu jam 5.45 petang, bertindak atas maklumat sepasukan polis yang menjalankan penugasan sekatan jalan raya (SJR) menahan tiga lelaki tempatan berusia 35 hingga 62 tahun di Kilometer (KM) 49.5 Lebuhraya Senai-Desaru, Bandar Penawar.

“Bagi serbuan kedua dan ketiga, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 49 tahun di luar kawasan Rapid Pengerang, manakala seorang lagi lelaki berusia 45 tahun ditahan di kawasan Rapid Pengerang, semalam.

“Polis masih memburu tujuh individu tempatan termasuk empat daripadanya adalah pekerja dalaman berusia 30 hingga 45 yang masih bebas, selain terdapat dua syarikat pengangkutan tempatan turut dikenal pasti bersekongkol dengan kegiatan terbabit,” katanya pada sidang media di perkarangan lobi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi hari ini.

Ahsmon berkata, polis merampas lima lori treler, 203 batang besi dan lima telefon bimbit membabitkan nilai rampasan berjumlah RM700,000 dan semua yang ditahan terdiri daripada pemandu, orang perantara dan orang dalaman itu direman selama empat hari bermula 18 hingga 21 Mei ini.

Katanya, pihaknya memberi amaran akan memburu semua suspek kerana Rapid Pengerang adalah sumber ekonomi negara yang perlu dilindungi, selain ia aset pelaburan besar kepada negara.

“Semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah. Polis masih mengesan dalang sindiket yang dikenal pasti terbabit kecurian besi struktur binaan dan kabel yang membawa kerugian ratusan ribu ringgit milik syarikat Petronas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 417/465 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri, menceroboh dan memalsukan dokumen,” katanya.